"Barah payudara dan hubungan intim" Ramai beranggapan hubungan seksual selepas usia 40-an tidak penting terutama bagi golongan wanita yang menghidap atau menjalani rawatan kanser payudara.
Hakikatnya, perkara penting ini kurang diketengahkan disebabkan faktor masyarakat yang masih beranggapan ia adalah tabu dan tidak sesuai dibicarakan kepada orang awam.Perunding Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr Azura Rozila Ahmad berkata, kurang kesedaran serta perasaan malu membuatkan tidak ramai wanita tampil bertanya mengenai masalah mereka.
“Isu ini sangat penting untuk diketengahkan kerana statistik menunjukkan kira-kira 50 hingga 90 peratus wanita yang dirawat kerana kanser payudara berhadapan masalah seksual.
“Antaranya disebabkan salah faham atau takut kanser itu akan berjangkit kepada pasangan ketika melakukan hubungan kelamin sedangkan ia hanya mitos.
“Ramai juga beranggapan selepas atau ketika menjalani rawatan tahap seksual mereka akan menurun sedangkan hakikatnya keberahian wanita akan kembali selepas ia benar-benar bersedia,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.
Menurutnya, secara am tiada halangan untuk melakukan hubungan kelamin walaupun ketika menjalani rawatan kanser payudara. Ada juga wanita yang mengalami pengurangan libido (rangsangan) dalam tempoh menjalani rawatan.
“Memang ada perubahan keinginan seks wanita tetapi perubahan ini tidak akan kekal lama. Ia bergantung kepada keadaan emosi individu dan penyesuaian seseorang itu dengan perubahan yang dialaminya selain sokngan pasangan.
“Pembedahan atau rawatan radiasi payudara tidak mengubah rangsangan organ kelamin wanita termasuk untuk mencapai orgasma. Kemoterapi mungkin menyebabkan pengurangan libido tetapi ia bergantung kepada individu, misalnya penat atau rasa mual menyebabkan wanita kurang berminat ketika masih menjalani rawatan,” katanya.
Dr Azura berkata, keinginan melakukan seks akan kembali selepas tamat rawatan. Ia mungkin mengambil masa berminggu atau bulan. Ubat yang digunakan ketika rawatan biasanya tidak mengubah kenikmatan atau rangsangan kelamin ketika melakukan hubungan seksual.
“Ada juga ubat menyebabkan pengeringan kulit dalam faraj. Namun ia boleh ditangani dengan penggunaan ubat sapu pelincir yang boleh digunakan sebagai pelembap.
“Saya sarankan wanita berbincang dengan pakar rawatan kanser berkenaan rawatan kemoterapi dan hubungan intim. Kalau mampu tidak ada masalah. Ketika tahap sel putih rendah, apa saja jenis luka di bahagian faraj boleh membawa jangkitan kepada tubuh.
“Saya juga tidak menggalakkan wanita yang masih dalam rawatan atau selepas hamil kerana berkemungkinan besar ia bahaya untuk janin dan juga ibu disebabkan boleh mempengaruhi pertumbuhan kanser.
“Saya sarankan lebih baik menggunakan kondom kerana secara teori cairan di faraj mungkin mengandungi kemoterapi yang boleh terkena pasangan. Jadi penggunaan kondom dalam satu minggu selepas rawatan kemoterapi sangat penting,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan, peranan suami sangat penting ketika isteri menjalani rawatan ini.
“Sokongan suami penting bagi memberi semangat kepada isteri. Jangan pula mengambil bersikap sambil lewa dan kesempatan mencari orang lain atas alasan tidak munasabah.
“Hakikatnya saat begini, suami perlu sentiasa berada di sisi isteri untuk memberi kata perangsang supaya isteri lebih kuat dan sentiasa positif.
“Perubahan bentuk badan boleh menyebabkan rasa rendah diri selain rasa malu pada bahagian parut di dada (mastecktomi) atau parut pada payudara terdedah kepada pasangan,” katanya.
Jelasnya, perubahan fizikal wanita juga boleh menyebabkan wanita berasa kurang seksi di samping tekanan emosi, mengurangkan keinginan, dorongan dan kurang yakin di ranjang.
“Kelainan terhadap rangsangan di payudara yang baru (reconstructed breast) di mana saraf deria terpotong akibat pembedahan akan mengurangkan rangsangan dan tidak sama seperti dulu selain sedikit kebas.
“Namun tiada masalah untuk bahagian itu disentuh. Tambahan
lagi apabila pasangan tersentuh bahagian dada berparut walaupun tidak sakit. Saya mahu tekankan lagi
bahawa rawatan kanser payudara tidak mengurangkan rasa berahi untuk melakukan hubungan seksual,”
-By Blogger My-