Silap pilih lawan!
Rentetan gambar pergaduhan antara pelancong Ireland dengan sekumpulan peniaga Turki.
Istanbul: Sekumpulan peniaga Turki di Istanbul tersilap memilih lawan apabila cuba membelasah seorang pelancong dari Ireland yang sebenarnya peninju profesional.
Dalam rakaman video yang mula dimuat naik ke Youtube hari ini, lelaki Ireland itu diserang dengan kayu dan kerusi selepas dia dipersalahkan kerana botol air mineral bertaburan jatuh sebaik dia membuka peti sejuk di sebuah kedai di daerah Aksaray, Istanbul.
Menurut Today's Zaman, dalam kejadian hujung minggu lalu, pemilik kedai itu yang menyalahkannya, memukul pelancong Ireland itu dengan kayu dan beberapa peniaga berhampiran masuk campur mahu membelasah lelaki berkenaan.
Malangnya, lawan mereka memang dilatih untuk bergaduh dan akibatnya beberapa peniaga jatuh terkena tumbukan dan akhirnya mereka berundur.