Terima-kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Semoga bermanfaat"

Masak Sendiri Lebih Selamat



Masak sendiri makanan segera?


Hari ini saya kongsikan kepada anda pasal tips lebih sihat dan bersih jika masa sendiri dirumah.kemodenan negara menyebabkan perubahan gaya hidup manusia pada masa kini.Keperluan kepada makanan segera semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan utama.

Lagi pun makanan segera cukup mudah untuk diperoleh. Kunjungi saja mana-mana restoran makanan segera, pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja. Bagi wanita urban pula,mereka sering kali memilih untuk makan di luar, mengambil makanan segera atau yang disejuk beku untuk mengimbangi masa di pejabat dan urusan domestik.

Segolongan lagi gemar memilih makanan siap yang hanya perlu dipanaskan semula sementara selebihnya pula memesan makanan melalui telefon dan dalam talian. Alternatif itu kini dianggap rutin kerana kebanyakan daripada wanita yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur sudahpun dilimpahi pilihan makanan dan perkhidmatan seumpama itu.

Kaedah itu memudahkan mereka menyediakan hidangan buat keluarga kerana sebahagian besar masa telah ‘terkorban’ di tempat kerja dan di dalam kesesakan lalu lintas.

Tanpa disedari,pengambilan makanan segera akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit.Antaranya ialah kerosakan gigi,sembelit,obesiti dan tekanan darah tinggi,pembuluh darah tersumbat,penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.

Namun ramai sebenarnya masih kurang menyedari perihal ‘pembunuh senyap’ yang sering kali dikaitkan dengan penyakit kanser atau barah iaitu tabiat pengambilan makanan segera yang boleh membunuh bila-bila masa tanpa mengira siapa.

Menurut Dr Siti Suriani Othman dan Suhaida Mohd Sawi (2013) makanan segera ialah makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dulu.Percayakah anda yang terdapat sekurang-kurangnya 200 jenis makanan segera yang amat digemari rakyat negara ini menjadi punca pelbagai penyakit kritikal penduduk Malaysia?

Contohnya seperti makanan dalam tin, burger,hot dog,pizza dan sebagainya. Terdapat makanan segera yang perlu dimasak tetapi hanya mengambil masa beberapa minit saja dan ia terus boleh dihidang seperti mi segera.Makanan seperti ini menarik perhatian kerana ia menjimatkan masa,lazat serta mudah diperoleh.

Hari ini,tabiat ini bukan hanya dikaitkan dengan mereka yang bekerja, tetapi juga semakin menular dalam kalangan penuntut universiti atau pelajar sekolah. Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan.

Menurut Laman Web 3K,menerusi Kempen Konsumer Kebangsaan (2010) Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti,menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran.

Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu.Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi. Contoh lain aditif ialah bahan campuran yang diberi nama huruf awal ‘E’ seperti E101 (Riboflavin) E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate) E249 (Kalium Nitrit) E322 (Lesitin) dan sebagainya.

Selain itu,makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya,bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut.Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji,gula,jagung, tebu atau lobak bit.

Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai.Tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka.Walaupun demikian,kajian saintifik gagal membuktikan yang semua gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG.

Sebaliknya,kajian itu mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru,MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan. Ramai yang tidak menyedari bahawa makanan segera mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat.

la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh.Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan.

Kanak-kanak perlu dielakkan mengambil makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap,air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori.Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka saja dan ini menyebabkan mereka menolak makanan berkhasiat lain.

Kajian menunjukkan yang 50 peratus kematian awal berpunca daripada makanan dan 25 peratus rakyat Malaysia menghidap obesiti manakala selebihnya adalah strok, serangan jantung serta kegagalan fungsi buah pinggang dan diabetes.Malah,kajian juga menyatakan kes kanser juga meningkat.

Peratusan penyakit kronik ini semakin meruncing berikutan gaya pemakanan yang tidak seimbang.Namun begitu,bagi mereka yang mementingkan kesihatan, kebersihan dan ingin berjimat,masak sendiri di rumah adalah cara terbaik.

Ini memandangkan bahan yang digunakan di luar bukan saja tidak diketahui apa jenisnya,malah cara memasak pun tidak pasti,terutama masakan bergoreng. Harganya juga dua kali ganda dengan harga bahan yang beli di pasar.Selain daripada suri rumah, wanita bekerja juga boleh memasak apabila pulang dari bekerja.

Wanita bekerja yang memilih untuk memasak di rumah perlu melakukan persediaan awal bahan masakan untuk menjimatkan masa.Mereka harus memastikan bahan tumis sentiasa ada tersimpan di dalam peti sejuk.Janganlah kalau masa itu baru nak memasak,masa itu jugalah baru hendak mengisar atau menumbuk bawang,cili dan sebagainya.

Pastikan bahan tumis asas seperti bawang merah, bawang putih dan cili sentiasa ada dalam peti ais.Tetapi jangan pula biarkan ia terlalu lama dalam peti ais,takut busuk pula. Kalau boleh setiap hujung minggu, kisarkan bahan tumis untuk dimasak ketika hari bekerja.Tidaklah kelam-kabut nanti apabila ingin memasak dan dapat menjimatkan masa.

Selain itu, sebelum pergi ke pejabat, wanita yang bekerja bolehlah mengeluarkan bahan mentah yang hendak dimasak dari peti beku.Sama ada letakkan ia dalam peti air atas ataupun letak di luar tanpa direndam dengan air. Jadi mereka tidak perlu tunggu lama untuk bahan yang hendak dimasak lembut apabila pulang dari kerja nanti.

Pemilihan sayur juga penting iaitu pilih sayur yang mudah untuk disediakan. Sayur tidak memerlukan masa yang lama untuk disediakan seperti kubis,petola, kacang buncis,kangkung dan sebagainya. Lagipun,sayur tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak berbanding daging,ikan atau ayam.

Mereka juga boleh membeli perencah segera yang terdapat di pasar raya. Memasak dengan menggunakan perencah segera dapat memudahkan apabila memasak dan menjimatkan masa. Kini, terdapat begitu banyak bahan perencah ditawarkan di pasaran seperti perencah nasi goreng, perencah ayam masak merah dan banyak lagi hinggalah perencah rendang sekali pun.

Semua tersedia untuk dipilih dan nikmatinya bersama-sama keluarga. Selain itu,bagi mereka yang ingin memasak menggunakan ramuan sendiri, mereka boleh menyediakan bahan resipi lebih awal.Jika ingin menggunakan ramuan sendiri,ia tidak menghalang untuk memasak dengan cepat dan mudah.

Cuma persediaan bahan perlulah dilakukan lebih awal dan bukannya ketika ingin memasak.Contohnya, menyediakan hirisan bawang atau ramuan pada malam hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Apabila hendak memasak pada pagi harinya,boleh terus menggunakan bahan itu.

Terdapat banyak kesan positif apabila kita memasak sendiri di rumah.Apabila memasak bersama anak-anak, secara tidak langsung dapat mengeratkan kasih sayang di antara ibu dan anak.Aktiviti memasak dilakukan secara gotong-royong bersama anak di rumah.

Sambil memasak, ibu dan anak-anak boleh bercerita di antara satu sama lain. Ibu juga boleh mengajar anak mereka memasak dari awal lagi,bak kata pepatah melentur buluh,biarlah dari rebungnya.

Di samping itu,makanan yang dimasak sendiri juga lebih berkhasiat daripada makanan segera.Golongan ibu boleh memilih sendiri sayur yang segar dan bahan basah yang elok untuk dimasak. Cara penyediaan masakan juga lebih bersih.

Apabila memasak sendiri juga dapat menjimatkan kos.Pada masa kini, kenaikan kos sara hidup bagi penduduk Malaysia dan memasak sendiri adalah salah satu cara untuk menjimatkan kos. Bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai digalakkan untuk memasak sendiri kerana membeli bahan mentah untuk memasak jauh lebih murah daripada membeli makanan siap atau makanan segera.

Oleh itu,ini dapat membantu mengurangkan kos dalam bahan makanan dan duit itu boleh digunakan untuk kegunaan lain.

Secara kesimpulannya, makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, namun malang sekali pada masa kini,makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia.Oleh sebab itu, untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti pelbagai penyakit akibat pengambilan makanan segera yang berlebihan, kita harus membentuk tabiat pemakanan yang seimbang dan sihat.

Jangan terlalu memilih jalan mudah dalam soal makan dan minum.Ambillah makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk menjamin kesihatan tubuh badan yang berterusan.Salah satu cara untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat ialah dengan memasak sendiri di rumah.

Makanan yang disediakan juga lebih terjamin kebersihannya.

                             -By blogger My-

Previous
Next Post »
Post a Comment
Thanks for your comment