Bukan salah program tidak popular
Kepada para penganggur-penganggur garaduan diluar sana beberapa bulan selepas menamatkan pengajian mungkin perkara lumrah yang dilalui ramai pemegang ijazah.Namun,jika sampai berbulan-bulan masih juga tidak bekerja, ia seolah-olah ada sesuatu tidak kena.
Baru-baru ini penulis ada terdengar rungutan sesetengah siswa yang meluahkan rasa kecewa mereka kerana sukar memperoleh pekerjaan walaupun hampir setahun menamatkan pengajian.
Melalui perbualan itu, penulis dapat simpulkan mereka graduan daripada program aliran sastera dan kemanusiaan yang sememangnya mengeluarkan jumlah graduan yang besar setiap kali majlis konvokesyen.
Dengan permintaan dunia kerjaya yang semakin kompleks dan lebih menjurus kepada program lebih laku di pasaran, penulis mahupun masyarakat pastinya tidak dapat mengelak daripada bertanya? bagaimanakah nasib graduan program seperti ini’?
Bolehkah mereka bersaing dengan ribuan lagi graduan daripada program sama aliran yang turut mencuba nasib mencari pekerjaan dalam industri yang semakin mencabar hari ini?
Adakah program kurang popular turut menjadi punca kepada kadar peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan?
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,Universiti Sains Islam Malaysia,Profesor Datuk Dr Mohamed Asin Dollah berkata,tidak wujud isu program tidak popular yang menjadi penyebab peningkatan kadar pengangguran graduan.
Menurutnya,mengaitkan program sebagai faktor penyumbang adalah salah dan perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat.
“Sangat tidak relevan apabila mengaitkan program sebagai penyumbang kepada masalah pengangguran graduan masa kini.
“Persepsi itu perlu diperbetulkan. Program yang dikatakan kurang popular itu bukan penyebab graduan tidak memperoleh pekerjaan.
“Banyak lagi faktor perlu diambil kira dan bukan menuding jari kepada program sebagai penyebabnya katanya.
Menurutnya,ada pihak berpendapat program kurang popular yang sering dilabelkan majikan adalah seperti sains sosial yang melahirkan begitu ramai graduan setiap masa.
“Itu silap kerana ia tidak hanya terhad pada sains sosial dan kemanusiaan semata-mata.Ada juga program aliran sains seperti sains pertanian.
“Tapi tidak adil kalau kita mengatakan program berkenaan tidak mendapat tempat majikan.
“Setiap penawaran program mesti ada kepentingannya dan tidak boleh dilabelkan popular atau tidak walaupun oleh pihak majikan.Tindakan seperti itu berat sebelah katanya.
Beliau berkata,setiap program ditawarkan di universiti ada peranan tertentu yang signifikasi dengan proses pembangunan jangka panjang negara.
“Setiap program ditawarkan itu ada peranan tersendiri dan bukan ditawarkan atas kapasiti suka-suka oleh sesebuah institusi.
“Dalam sistem akademik,tiada istilah ‘popular’ atau ‘tidak popular’ kerana sumbangan sistem serta nilai pendidikan negara tidak dinilai menerusinya.
“Sama ada program itu sudah lama atau baru,kewujudannya adalah bagi menyokong kepentingan satu sama lain dan bukan dilabelkan berdasarkan populariti katanya.
Beliau turut menegaskan setiap program pengajian sudah memperoleh akreditasi daripada pihak profesional sebelum ditawarkan universiti.
“Setiap program diperkenalkan universiti perlu melalui pelbagai proses penapisan dan sebagainya sebelum penawaran dilaksanakan.
“Malah,semua kepentingan program juga sudah diambil kira berdasarkan pelbagai faktor tertentu seperti permintaan industri dan kajian pasaran.
“Saya tegaskan, program bukan penyumbang kepada peningkatan pengangguran.Ada sebab lain (bakal graduan tidak memperoleh pekerjaan) katanya.
Antara faktor kadar pengangguran boleh meningkat dalam kalangan graduan ialah kemelesetan ekonomi yang boleh menyebabkan berkurangnya permintaan peluang pekerjaan,kadar gaji dan kekurangan kemahiran insaniah.
Dengan keadaan dunia pekerjaan semakin kompleks,siswa memerlukan pelbagai kemahiran sebagai jaminan sumber tenaga kerja diambil majikan benar-benar kompetitif dan berbaloi.
Menurut Dr Mohamed Asin,penekanan bagi memantapkan pelbagai kemahiran antara faktor utama yang dicari majikan masa kini.
“Jika dulu kebanyakan graduan boleh bersandarkan pada kecemerlangan akademik semata-mata,tapi senario kini semakin berbeza.
“Tidak kira program, kelayakan akademik yang disokong dengan nilai kemahiran tertentu adalah kriteria utama dicari majikan.
“Justeru,siswa sentiasa digalakkan untuk menambah nilai kemahiran diri mereka sepanjang tempoh pengajian bagi melonjakkan lagi kredit di pasaran kerjaya katanya.
Katanya,sama ada graduan daripada program popular atau tidak, nilai diri siswa biasanya akan ‘diuji’ menerusi kemahiran dimiliki.
“Melainkan program profesional seperti doktor,jurutera dan akauntan, sebahagian besar majikan mencari ‘sesuatu’ yang boleh dibanggakan daripada calon pekerjanya.
“Ini bukan berkait dengan program ditawarkan di universiti.Ini berkaitan kemampuan siswa itu sendiri bagaimana mahu memasarkan diri dalam industri.
“Jadi, jangan salahkan program andai kata sukar memperoleh pekerjaan. Lihat dulu kekurangan diri sendiri mengapa anda susah diterima bekerja katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab institusi adalah menyediakan program pengajian meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan.
“Dengan ilmu diberikan itu, bakal graduan boleh dibentuk menjadi seseorang yang mampu berfikir dan berintergriti.
“Tapi bukan tanggungjawab universiti menyediakan peluang pekerjaan sebaliknya perlu dilakukan graduan sendiri dengan ilmu serta kemahiran sudah dipelajari.
“Semua graduan boleh mempunyai ijazah serupa sama ada dari program popular atau tidak popular tapi kemahiran insaniah berbeza katanya.
Kemahiran inilah akui beliau, yang bakal menentukan sama ada mereka mudah diterima kerja atau sebaliknya.
“Kesukaran itu bukan kerana program pengajian tapi kemahiran individu mengaplikasikan ilmu dalam dunia realiti.
“Universiti bukan sebuah pusat latihan pekerja sebaliknya gedung ilmu yang memberi panduan kehidupan kata Dr Mohamed Asin.
Antara kriteria perlu dimiliki graduan ialah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan,mengurus risiko, keusahawanan dan ketrampilan.
Katanya, seiring perubahan dunia kerjaya, universiti juga sudah menyediakan pelbagai modul berbentuk kemahiran kepada siswa untuk meningkatkan kredibiliti diri masing-masing.
“Semuanya bergantung kepada kesedaran siswa untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran itu.
“Program tidak ada kena mengena dengan penawaran kerjaya yang diberikan pihak majikan.Jadi jangan salahkan program kalau tidak memperoleh pekerjaan katanya.
Sementara itu,siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,Mohd Syazwan Shah Eddie berkata,sebagai siswa mereka memang perlu bersedia untuk menempuh alam pekerjaan dengan nilai kemahiran berbeza.
“Tidak kira sama ada program popular seperti perubatan,sains kesihatan dan sains kemanusiaan,semuanya kini memang memerlukan pelbagai kemahiran.
“Amat rugi jika siswa tidak mengambil kesempatan ini,sama ada datang daripada program popular atau tidak,jika tiada nilai kemahiran tetap akan mengecilkan nilai graduan pada mata majikan katanya.
-By blogger My-